Setelah badai pertama berlalu, saya menyedari bahawa perjalanan ini masih panjang. Ujian belum berakhir, namun di setiap langkah yang berat, saya mula melihat sinar kecil yang dinamakan harapan.
Beberapa minggu selepas menerima laporan bahawa saya menghidap kanser usus, hidup saya berubah arah sepenuhnya. Dari rasa tidak percaya, kini saya belajar untuk menerima, bernafas dalam tenang, dan bersedia melangkah ke fasa seterusnya sebagai pejuang kanser.
Pagi itu, saya kembali ke Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), UiTM Puncak Alam untuk menjalani satu lagi prosedur penting iaitu imbasan CT-Scan bagi menentukan sejauh mana tahap kanser telah merebak. Langkah ini penting untuk menentukan bentuk rawatan yang perlu dilakukan.
Sewaktu menunggu di ruang radiologi, hati saya berperang antara tenang dan cemas. Namun di celah debaran itu, ada seberkas harapan agar keputusan nanti membawa khabar baik. Saat jururawat menyuntik bahan kontras ke lengan, tubuh terasa hangat. Saya memejamkan mata dan berbisik dalam hati, “Ya Allah, jika ini jalannya menuju kesembuhan, permudahkanlah.”
Beberapa hari kemudian, saya dipanggil bertemu pakar bedah bagi mendengar keputusan imbasan CT-Scan. Doktor membuka paparan imej di skrin komputer dengan wajah tenang namun berhati-hati. Saya cuba memandang imej itu, walau tidak semuanya saya fahami. Yang pasti, menurut keterangan doktor, kanser itu telah merebak ke kelenjar di luar usus besar dan ia menandakan penyakit ini kini berada pada Tahap Ketiga.
Kata-kata itu jatuh seperti batu besar di dada. Dunia terasa senyap seketika. Namun dalam hati, saya berkata perlahan, “Jika ini takdir, aku akan hadapinya dengan reda.”
Doktor menerangkan perlunya pembedahan segera bagi membuang bahagian usus yang telah dijangkiti. Beberapa ujian tambahan seperti pemeriksaan jantung dan paru-paru perlu dijalankan terlebih dahulu. Saya diberi cuti sakit seminggu untuk berehat dan mempersiapkan diri, baik dari segi fizikal mahupun mental.
Namun, saya memilih untuk datang juga ke tempat kerja. Ada tanggungjawab yang perlu saya sempurnakan, bagi memaklumkan kepada ketua jabatan tentang status kesihatan saya dan menyusun tugasan bersama rakan sekerja. Langkah itu bukan kerana saya kuat, tetapi kerana saya mahu meninggalkan segalanya dalam keadaan tersusun, agar hati ini tenang melangkah ke fasa rawatan seterusnya.
Dalam perjalanan pulang dari pejabat, saya termenung lama. Ada gentar, ada sayu, namun yang paling saya rasakan ialah syukur kerana masih diberi masa untuk bersedia, untuk berdoa, dan untuk menghargai setiap nafas.
Saya mula sedar bahawa perjuangan ini bukan sekadar untuk sembuh, tetapi untuk belajar menghargai makna kehidupan. Setiap ujian bukan tanda Tuhan menjauh, tetapi bukti bahawa Dia sedang dekat. Mungkin tubuh ini sedang diuji, tetapi jiwa sedang diperkuatkan.
Kini apabila saya mengenang kembali hari itu, saya tidak melihatnya sebagai saat kelemahan, tetapi sebagai titik mula kebangkitan. Tuhan tidak pernah menutup pintu harapan, bahkan di tengah gelapnya ujian, Dia sedang menyalakan cahaya yang lebih terang di dalam hati.
Ujian hidup datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang melukai tubuh, ada yang menggoncang hati.
Namun percayalah, setiap ujian membawa ruang untuk kita kembali kepada Tuhan dengan lebih dekat denganNYA.
SUMMARY:
A few weeks after my bowel cancer diagnosis, I returned to Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), UiTM Puncak Alam for a CT scan to check how far the cancer had spread. While waiting, I felt scared but kept praying and holding on to hope.
When I met the surgeon, I was told the cancer had spread to nearby lymph nodes and that it was now Stage 3. It was hard to hear, but I chose to accept it and prepare myself.
The doctor explained I would need surgery soon, and I had to do more tests first, including heart and lung checks. I was given a week of medical leave, but I still went to work to inform my boss and arrange my tasks with my colleagues, so everything would be in order.
On the way home, I felt afraid and sad, but also thankful for the time to prepare, to pray, and to value each day. I learned that this journey is not only about getting better, but also about appreciating life and staying close to God, because hope can still shine, even in difficult times.
click here to read the Part 1: Demam yang berulang akhirnya membuka pintu kepada sebuah perjalanan yang tidak pernah saya bayangkan