Demam yang berulang akhirnya membuka pintu kepada sebuah perjalanan yang tidak pernah saya bayangkan

Permulaan Sebuah Ujian

Segalanya bermula dengan demam yang datang dan pergi hampir sebulan. Awalnya, saya menjangka keadaan ini sama seperti sebelum ini, demam akan sembuh bila berehat dan mengambil ubat.

Namun, tubuh terasa lemah, wajah semakin pucat, dan saya mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Walaupun cuba berfikir positif, hati kecil ini tetap berasa risau. Setelah kerap kali berkunjung ke klinik, akhirnya doktor mencadangkan ujian darah dijalankan.

Beberapa hari kemudian, keputusan makmal diterima dan menunjukkan bacaan hemoglobin saya hanyalah 6.3 g/dL, iaitu separuh daripada paras normal bagi seorang lelaki dewasa (13–17 g/dL).

Mendengarnya membuat saya terdiam. Doktor menasihatkan saya segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana keadaan ini boleh memudaratkan diri.

Saya memilih mendapat rawatan di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), UiTM Puncak Alam. Di sana, saya dimasukkan ke wad dan menerima dua beg darah bagi menggantikan darah yang hilang.

Ketika melihat darah mengalir masuk ke tubuh sendiri, saya hanya mampu berdoa agar semuanya dipermudahkan. Tubuh terasa lemah, namun hati tetap berusaha kuat.

Punca sebenar anemia masih belum diketahui, dan di situlah bermulanya perjalanan mencari jawapan.

Doktor yang merawat bertanya pelbagai soalan untuk mengenal pasti punca kehilangan darah. Saya sendiri tiada jawapan. Tiada tanda pendarahan luaran atau dalaman yang jelas.

Lalu, doktor mencadangkan ujian sampel najis dijalankan, dan hasilnya menunjukkan kehadiran darah. Langkah seterusnya adalah prosedur endoskopi bagi menyiasat keadaan usus dengan lebih terperinci.

Hari-hari menunggu keputusan terasa panjang; antara bimbang dan reda, saya belajar memperlahankan langkah. Dalam hati, saya cuba menolak segala kemungkinan, namun jauh di sudut jiwa, saya bersedia menerima apa sahaja ketentuan.

Beberapa minggu kemudian, saya kembali ke hospital untuk mendengar hasilnya. Saat doktor menunjukkan imej dari endoskopi, dunia terasa terhenti. Di layar itu, jelas kelihatan ketumbuhan pada usus. Dengan tenang, doktor mengesahkan bahawa saya menghidap kanser usus.

Dalam kesedihan itu, hadir ketenangan yang sukar digambarkan, seolah-olah Tuhan sedang berbisik lembut bahawa setiap ujian ada hikmahnya.

Saya belajar bahawa ujian bukan hukuman, tetapi cara Tuhan mengajar kita menghargai kehidupan.

Setiap doa, setiap pelukan, setiap senyuman daripada keluarga dan sahabat menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah.

Hari itu menandakan bermulanya perjalanan baharu, saya bukan sekadar sebagai pesakit, saya pejuang kehidupan.

Saya percaya, selagi ada doa yang tidak putus dan harapan yang tidak padam, selagi itu Tuhan tidak pernah menutup pintu kesembuhan.

Kadang-kadang, Tuhan datangkan ujian bukan untuk melemahkan, tetapi untuk menguatkan hati yang hampir lupa pada nikmat kehidupan.

Setiap denyutan nadi hari ini adalah anugerah yang harus disyukuri.

#PejuangKanser #PerjalananKesembuhan #SyukurDalamUjian

Perkongsian oleh:

Fairus Muhamad Darus

Pejuang Kanser Tahap 3

Summary

This story shares how Fairus Muhamad Darus first experienced on-and-off fever and tiredness, then learned from a blood test that his hemoglobin was dangerously low at 6.3 g/dL. He was referred to Hospital Al-Sultan Abdullah (UiTM Puncak Alam), where he received blood transfusions while doctors searched for the cause of his severe anemia. A stool test showing hidden blood led to an endoscopy, which revealed a tumour in his intestine and, finally, a diagnosis of colon cancer. Although the news was heavy, Fairus chose to face it with calm, faith, and the support of his loved ones, seeing this illness as a test that deepened his appreciation for life and hope.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Drop us a line we'll connect back you soon !